Tuesday, 10 January 2012
~*~DI PENGHUJUNG RINDU~*~
Jejak-jejak langkahku bagaikan lembaran waktu
apakah ku masih bisa terus melangkah
serpihan hidupku kan ku bangun di atas satu cinta
subhanallah aku menyintainya
subhanallah aku menyayanginya
dari ufuk timur hingga ke barat
selalu di hatiku
******
Subhanallah.... Ya Allah... aku benar-benar menyintai dia. Di segenap jiwa ragaku di setiap sudut hati ku. Betapa aku menyayangi dirinya Ya Allah.... Setiap saat hatiku mendambakan rindunya. Setiap waktu ku mengharapkan sentuhan kasihnya. Dialah segalanya bagiku. 2 tahun dia hadir dalam hidup ku menyimpul rasa kasih dan mengayam rasa cinta dalam diriku. Segala kenangan indah bersamanya terpahat kukuh di hatiku.... Subhanallah....
Seketika.. lamunanku tersentak. Bagaikan tersentuh dengan semiliran bayu rindu. Tanpa sedar, air mata yang menitis ku leret dengan jemariku. Segala impian yang ku bena selama ini untuk hidup bersamanya hancur berderai. Hancur bagaikan kaca yang terhempas di lantai. Demi tuhan, betapa hancur hati ku di saat ayah mengungkap kata-kata ada insan lain yang telah datang melamarku. Apalah dayaku.... segalanya terjadi tanpa relaku. Keputusan ayah adalah muktamad. Dia telah menentukan jodoh untuk diriku.
Aku hanya mampu menangis tersedu. Di saat itu, ke mana harus ku bawa laraku. Sedih, pedih dan sakit bagaikan menghiris di segenap jantungku. Meluruhkan semangatku untuk meneruskan perjalanan hidupku. Namun, siapalah aku.... insan lemah yang hanya mampu pasrah dengan ketentuanNYA. Tiada upaya diriku menolak takdir yang tersurat di dalam hidupku. Demi kasih ku pada seorang ayah, ku paksa diri menerima insan pilihannya biarpun hakikatnya jiwa ku amat parah.
Teringat kata-kata ibu memujukku tempohari.
"Ibu tau Ima sedih. Ibu tau Ima kecewa. Tapi Ima kena ingat, mendirikan rumahtangga perlu restu ibu bapa. Tanpa restu keduanya, rumahtangga susah nak bahagia. Sudah pasti banyak ranjau dan durinya." Aku menungkum muka ke ribaan ibu. Tak mampu ku berkata apa-apa.
"Kadang-kadang Ima, mungkin kita rasa dia adalah pilihan yang terbaik untuk diri kita. Tapi Allah lebih tahu. DIA mengatur yang terbaik untuk diri kita Ima. Ima kena redha dengan ketentuanNYA. Mudah-mudahan dengan redha itu hidup Ima akan lebih bahagia" lembut tangan ibu mengusap belakangku. Namun hakikatnya, kelembutan itu tidak mampu mendamaikan hati ku waktu itu.
Terdetik jua di hatiku, mampukah hatiku menerima Haikal. Insan yang telah melamarku sebagai bakal isterinya dengan restu kedua orang tuaku. Mampukah aku melakar bahagia hidup bersamanya nanti. Bersediakah aku membuka pintu hatiku untuknya sedangkan di saat ini hatiku hanya ada dia... Dia yg sekian lama bertahta di hati. Aku keliru dan buntu. Hanya air mata mampu menemani ku saat ini. Tapi di manakah dia? Ke manakah gerangan dia menghilang diri? Mengapa aku tidak lagi nampak kelibat dirinya sejak berita pertunangan ku sampai ke pengetahuannya?
Sebulan berlalu. Sebulan aku merawat luka di hatiku. Tanpa dia di sisiku. Tanpa senyumannya yang mampu menjadi penawar dukaku. Tanpa belai kasihnya yang mampu meleraikan rinduku. Sesungguhnya, tanpa dia.... hidupku benar-benar terasa suram dan kelam. Hingga kini, luka di hatiku belum mampu sembuh. Luka yang amat dalam bagai ditusuk sembilu yang tajam. Mie... jauh di sudut hati aku amat merinduimu. Rindu yang amat mencengkam. Rindu yang amat sukar untuk ku tafsirkan. Rindu yang tiada penghujungnya. Di manakah kau kini.... tidakkah kau dengar suara hatiku? Ya Allah.... hanya padaMU tempat ku mengadu. Sampaikan rinduku pada dia Ya Allah... tidak tertanggung rasanya rinduku ini. Kian menjerut segenap sanubariku.
Sedang aku menyiapkan kerja-kerja di dapur, tiba-tiba aku dikejutkan oleh panggilan adikku.
"Kak Ima... kak Ima... pagi tadi adik jumpa abang Mie. Dia kata nak jumpa kak Ima petang ni" tercungap-cungap adikku menyampaikan berita. Berita yang mampu menyentak jantungku.
Rupa-rupanya ayah telah terpacak di depan muka pintu dapur. Dia telah mendengar kata-kata yang terkeluar dari mulut adikku rupanya. Renungan ayah tajam menghiris.
"Petang ni ayah akan suruh Haikal datang rumah. Biar Mie jumpa sendiri dengan Haikal" tegas nada suara ayah. Aku terpaku. Saat yang bahagia ku rasa sebentar tadi tersentap sekelip mata. Aku tidak mampu berkata apa-apa melainkan airmata berjujuran menitis ke pipi. Di saat hati meruntun rindu, ada belati yang menghiris kalbu.....
Sebagaimana yang telah dirancang, awal lagi Haikal telah datang ke rumah. Haikal memang seorang yang baik. Ada rupa, ada jawatan yang baik dan dari keluarga yang dihormati. Tidak hairanlah ayah terbuka hati menerima dia sebagai calon menantu. Aku juga tidak pernah membenci Haikal. Cuma hadirnya di saat hatiku telah dimiliki. Mampukah Haikal membuka pintu hatiku untuk menerima dirinya? Hingga kini, aku masih belum mampu menerima Haikal di hatiku.
Tika aku di dapur menemani ibu menyiapkan hidangan petang, terdengar suara seseorang memberi salam. Ayahku yang sedang bersantai di luar bersama Haikal menjawab salam. Tidak lama kemudian, terdengar suara ayah memanggil namaku. Ibu mengekori di belakangku. Tanpa berlengah, aku keluar menuju ke muka pintu. Debar hatiku yang terasa sepanjang hari semakin kuat bertalu.
Terlihat sahaja kelibat dia terpacak di hadapanku... hampir luruh tangkai jantungku. Tanpa sedar, air mataku mengalir laju.
"Mie, apa mimpimu bertandang ke rumah Ima? Kemana Mie pergi di saat Ima perlukan teman? Kenapa Mie tinggalkan Ima?" Saat itu, aku sudah tidak peduli pada ayah. Pada Haikal dan pada Ibu. Yang nyata di depan mataku hanya Mie. Mie yang amat ku rindu. Ingin saja rasanya ku peluk dia seerat hatiku. Tak sanggup aku berpisah lagi dengannya. Namun, akal warasku masih mampu menyedarkan diri untuk berpijak di bumi nyata. Mie hanya terpaku di depan mataku tanpa sebaris ayat yang mampu melerai duka yang bersarang di hatiku sekian lama. Namun dari sinar matanya ku tahu, dia juga merindukan aku. Dan dari raut wajahnya, ada derita di hatinya. Ku tahu..... Mie juga merana seperti aku.
Melihat kerlingan mata ayah, aku segera menganjakkan diri. Perlahan ku mengatur langkah kaki. Aku masuk ke dalam rumah, Mengurung diri di dalam bilikku. Ku dengar suara ayah mengajak Mie masuk ke dalam rumah. Dalam sayup-sayup kedengaran suara ayah, Haikal dan Mie saling bertingkah. Sesekali terdengar juga suara ibu mencelah. Tapi apa yang dibincangkan oleh mereka aku tak pasti krn tangisan ku semakin hebat dan tak mampu ku bendung lagi. Keletihan menangis, aku terlena. Bila tersedar, sekelilingku terasa amat suram. Ku sedar kini.... Mie dah pergi semakin jauh dari hidupku. Airmata ku semakin deras bagaikan hujan yang mencurah.
Bulan Syawal, ayah menetapkan tarikh pernikahanku. Dengan berat hati, ku kirimkan undangan perkahwinan ku untuk Mie. Tanpa rela, ku persiapkan juga diri ini menghadapi hari persandinganku nanti. Ayah dan ibu begitu bersemangat menyiapkan keperluan kenduri. Perlahan-lahan ku cuba merawat hati demi kebahagiaan ayah dan ibu. Perlahan-lahan juga, aku cuba menerima ketentuan ini dengan hati yang redha. Ku pasrahkan diri menerima segalanya.
Sehari sebelum hari pernikahanku, rumah ayah dah mula dipenuhi sanak saudara dan jiran-jiran. Bilikku telah dihias indah. Terdengar gelak tawa ahli keluarga. Riuh rendah. Namun, di saat keriuhan, aku tetap menjeruk perasaan. Biarpun hatiku belajar menerima Haikal, namun jauh di sudut hati, Mie masih bertahta di hatiku. Alangkah sukar untuk ku mengusir dia jauh dari hatiku.... Perasaan inilah yang membuat diriku benar-benar terbelenggu.
Tiba hari yang dinanti oleh semua kaum keluarga. Ku pujuk hati menceriakan diri. Ku paksa bibir mengukir senyum biarpun di hati menangis pilu. Persalinan cantik menghiasi tubuhku. Rakan-rakan turut hadir meraikan hari yang seharusnya menjadi hari bahagiaku. Bertemu dengan rakan-rakan sedikit sebanyak melenyapkan hiba di hatiku. Usikan mereka mampu membuatku tersenyum seketika. Sesekali menyelinap juga rasa debaran menanti kedatangan rombongan Haikal dan keluarganya.
Akhirnya, rombongan pengantin lelaki tiba. Aku dipimpin oleh ibu saudaraku keluar menuju ke halaman rumah. Degup jantungku semakin laju. Saat itu, aku tidak mampu lagi memikir keadaan di sekelilingku. Rasa malu, sedih, bersalah, keliru... semuanya berbaur menjadi satu. Kedatangan rombongan pengantin lelaki disambut dengan paluan kompang. Aku tidak mampu mengangkat kepalaku sewaktu jemariku ditautkan dengan jemari Haikal. Kami diiring ke persada persandingan yang telah sedia menunggu. Terasa longlai langkah kakiku. Lemah seluruh urat sarafku.
Kami disandingkan di atas pelamin yang indah. Sanak saudara dan rakan taulan bersilih ganti menepung tawar dan mengucapkan tahniah. Aku memaksa diri tersenyum biarpun pahit ku rasakan. Hingga di suatu saat, aku terlihat kelibat seseorang perlahan-lahan mengatur langkah menghampiriku dan Haikal di pelaminan. Subhanallah.... luruh jantung ku. Tanpa sedar, berderai air mataku. Mie.... betapa aku merinduimu. Renungan matamu bagai menghiris jantung hatiku. Mie... andai kau tahu hatiku saat ini.
Kau hadir jua di saat aku cuba melakar bahagia di samping insan yang kini menjadi suamiku. Biarpun di wajahmu terukir senyuman tatkala bersalaman dgn Haikal, namun dari redup renungan matamu ku tahu kau derita. Kau juga merana seperti aku.... tapi apalah dayaku.... Takdir tuhan mengatasi segalanya. Akhirnya.. Mie berlalu pergi meninggalkan aku.Pergi meninggalkan segala kenangan yang bertahun bersemayam di lubuk kalbu. Pergi untuk terakhir kalinya dalam hidupku. Aku pasrah. Inilah suratan yang tersurat di penghujung rinduku. Subhanallah.... rasa cinta ku terpaksa ku benamkan untuk selamanya bersama pemergian Mie dalam hidupku.
Kini, 2 tahun telah berlalu. Pengalaman telah banyak mengajar diriku tentang kehidupan. Kekecewaan lalu menjadikan aku manusia yang lebih tabah dan kuat menghadapi segala onak dan duri yang merentangi perjalanan hidupku. Kini, aku mampu melakar hidup bahagia bersama insan yang bernama Haikal dan kebahagiaan yang menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Danial Hakimi dalam hidup kami. Kehadiran Haikal dalam hidupku membuat diri rasa dihargai dan disayangi. Allah telah mengatur yang terbaik di dalam kehidupanku. Bersyukurku padamu Ya Allah...
Sesungguhnya bahagia itu adalah rahmat dari Allah yang diberikan untuk semua hambaNYA. Semua manusia berhak merasa bahagia biarpun hidup tanpa insan yang menyintai.
Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati
Bahagia itu ada pada hati
Bertakhta di kerajaan diri
Terbenam bagai mutiara di lautan nurani
Bahagia itu ada di jiwa
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu adalah suatu ketenangan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment